22 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.
Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 membuat keputusan berkenaan selepas mendengar cadangan SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung perkara tersebut dalam mesyuarat hari ini.
Berikutan itu, Ismail Sabri berkata bagi pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa ini perlulah memenuhi syarat dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Antara SOP prapelepasan perlu dipatuhi ialah mereka mestilah terdiri daripada pelancong berkualiti (high yield), individu yang telah divaksin lengkap; anak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama-sama ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap.
“Senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)/Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM)/Kementerian Luar Negeri (KLN).
“Dari tempoh tinggal mereka mestilah melancong sekurang-kurangnya tiga hari; tiada syarat kuarantin dikenakan (terpakai untuk Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi sahaja),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata semua pelancong asing berkenaan wajib menjalani ujian ujian PCR-RT COVID-19 dalam masa 72 jam sebelum berlepas dan perlu membawa keputusan terbabit sama ada dalam bentuk digital / cetakan.
Perdana Menteri berkata mereka juga wajib mempunyai insurans perubatan sekurang-kurangnya bernilai AS$80,000, selain perlu menggunakan khidmat agen pelancongan berlesen di bawah MOTAC; membawa pasport dan Visa Health Declaration Form LoU and Indemnity.
“Mereka juga wajib memuat naik dan mendaftar aplikasi MySejahtera sebelum berlepas ke Malaysia, selain menjalani Rapid Molecular Testing (1 jam 30 minit) atau terus ke Langkawi (wajib ujian RT-PCR COVID-19 pada hari kedua) dan sekiranya positif, akan terus dibawa ke pusat pengasingan / kuarantin / hospital swasta (mengikut Kategori).
“Projek rintis ini akan dijalankan selama tiga bulan bagi KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain,” katanya