22 OKT: Thailand semalam mengumumkan pelancong yang lengkap vaksinasi COVID-19 dibenar memasuki negara itu tanpa perlu dikuarantin mulai 1 November.
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha berkata sebanyak 46 negara dan wilayah dibenarkan mengunjungi negara Gajah Putih itu sekali gus merangsang kembali sektor pelancongan.
“Kami perlu bergerak lebih pantas dan melakukannya sekarang. Ini kerana untuk menunggu segala-galanya sempurna, ia akan membuatkan kita terlambat,” katanya menerusi laman rasmi Facebooknya.
Selain Amerika Syarikat, Britain dan China, pelancong yang divaksinasi dari sejumlah negara Eropah termasuk Perancis dan Jerman akan dibenarkan masuk, jika mereka memberikan ujian RT-PCR COVID-19 berstatus negatif.
Negara jiran, Kemboja dan Malaysia juga berada dalam senarai berisiko rendah, selain Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.
Ketika tiba di Thailand, pelancong perlu melakukan ujian COVID-19 serta membuat tempahan penginapan satu malam di hotel diluluskan kerajaan sementara menunggu keputusan, sebelum dibenarkan melakukan perjalanan dengan bebas.
“Kami tahu ini adalah langkah drastik serta meningkatkan risiko pertambahan jangkitan, tetapi ia adalah risiko yang harus diterima,” kata Prayut.
Sebelum pandemik COVID-19, Thailand menarik hampir 40 juta pelawat dengan sektor pelancongan menyumbang hampir 20 peratus kepada pendapatan negara.
Tahun lalu, Thailand kehilangan kira-kira AS$50 bilion (RM207.9 bilion) pendapatan hasil pelancongan berikutan kemasukan pelancong asing merosot 83 peratus menjadi 6.7 juta.
Prayut sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 70 peratus populasi Thailand perlu divaksinasi awal tahun depan, sebelum kerajaan membuka kembali sepenuhnya sempadan negara.
Sehingga kini, hampir 40 peratus rakyat Thailand sudah menerima dua dos lengkap vaksin.
Thailand juga mencatat kira-kira 10,000 kes sehari dengan sebahagian besarnya penularannya disebabkan varian Delta.
Secara keseluruhan, Thailand merekodkan lebih 1.8 juta kes dengan 18,559 kematian.