22 OKT: Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, memberi amaran bahawa keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan parti mewakili orang Melayu/Bumiputera lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata sebarang agenda bersifat memecah-belah solidariti kelompok teras iaitu Melayu/Islam/Bumiputera adalah ramuan tepat dan merupakan percubaan memperkasa semula PH.
“PH amat berharap dan menanti-nantikan saat UMNO tidak lagi dalam saf penyatuan ummah.
“Setakat ini muafakat Melayu bersama rakan rakan lain yang sederhana dan setiakawan Barisan Nasional (BN) PN telah berkali-kali menggagalkan perancangan cikgu dan maulana PH,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan UMNO menolak kerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana dalam pilihan raya.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara terbabit sudah diputuskan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.
“Tidak timbul isu UMNO cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama). Sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada perhimpunan lalu yang memutuskan bahawa UMNO tidak pernah akan bekerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Noktah!” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, di Bukit Katil, Melaka malam tadi.