23 OKT : Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menerima suntikan dos penggalak COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, hari ini.
Muhyiddin dan isteri tiba di PPV berkenaan pada jam 9.35 pagi dan selesai menerima suntikan dos penggalak Pfizer kira-kira pukul 10 pagi.
Kedua-duanya sempat meluangkan masa berbual dengan remaja yang selesai mengambil vaksin di ruangan menunggu yang sama.
Berkata kepada pemberita, bekas perdana menteri itu berpuas hati dengan proses di PPV itu yang berjalan dengan baik dan beliau juga tidak mengalami sebarang kesan segera selepas suntikan.
Katanya, beliau secara sukarela membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera beberapa hari lepas untuk mendapatkan suntikan penggalak.
“Selepas itu saya sendiri membuat panggilan untuk bertanya dengan Kementerian Kesihatan dan diberitahu boleh datang hari ini.
“Saya mendapatkan dos penggalak ini bagi meningkatkan perlindungan memandangkan sudah berusia 74 tahun,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kebanyakan negeri kini berada di Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sesetengah negara seperti United Kingdom mencatatkan peningkatan semula kes baharu dan rakyat Malaysia wajar menjadikannya sebagai iktibar,” katanya.