23 OKT : Peniaga dan penggunakan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) kini boleh membuat aduan melalui saluran khas yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung sebarang masalah tentang perkara tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, aduan itu boleh disalurkan melalui e-mel kepada adu.khidmatpenghantarmakanan@kpdnhep.gov.my bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.
“KPDNHEP serius dalam memastikan peserta industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.
“Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.
“Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosol berkata KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing Food Panda Malaysia Sdn Bhd (Food Panda) sepanjang tahun lalu manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
“Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.
Beliau berkata susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua peserta utama industri itu khususnya Food Panda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.
“Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-hailing) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” katanya.