23 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, idea Keluarga Malaysia yang diilhamkannya ini bukanlah sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi telah diterjemahkan di dalam pentadbiran kerajaan untuk memastikan kesejahteraan terus rakyat terpelihara.
Mengambil contoh sebuah keluarga,Ismail Sabri berkata sudah pastinya andai ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti pertolongan akan diberikan oleh ahli keluarga yang lain dan tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.
“Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia ini, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.
“Sarawak merupakan antara 6 negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena pelancaran Keluarga Malaysia yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) malam ini.
Katanya lagi, dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan tujuan ini, menurut Ismail Sabri, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada 6 negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.
“Dengan semangat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.
Justeru kata Ismail Sabri, beliau menaruh harapan yang tinggi harapan agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.