24 OKT: Aireroshairi Roslan dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Pahang baharu pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pahang Ke-39 yang berlangsung di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh semalam.
Bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang itu dipilih sebulat suara bagi menggantikan penyandangnya, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin yang melepasi usia pemuda.
Dalam ucapannya, Aireroshairi mengulangi komitmen PAS membawa agenda penyatuan ummah dalam arena politik umat Islam di negara ini.
Menurutnya, ummah mesti bersatu demi membawa Malaysia kepada ke arah yang lebih baik dengan berpegang kepada muafakat membawa berkat.
Beliau turut berpesan agar semua Pemuda PAS dapat memberikan fokus dengan program tarbiah dan majlis ilmu.
“Pada masa yang sama mereka perlu meneruskan gerak kerja pilihanraya bagi memastikan Islam terus memimpin ummah di negara ini,” ujarnya.
Pada muktamar itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih dan Naib Ketua Pemuda, Dr Firdaus Ismail kekal apabila menang tanpa bertanding.