24 OKT: DAP membidas tindakan Kementerian Kesihatan (KKM), tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berkuat kuasa mulai esok.
Berikutan itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata akan mengarahkan peguam untuk mengkaji sama ada larangan dan sekatan kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan pilihan raya.
“Pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat untuk membincangkan sekatan yang tidak adil dan tidak demokratik ini yang bertujuan untuk melumpuhkan pembangkang dan memberi kelebihan awal kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan KKM tidak akan membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka mulai esok
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata larangan yang akan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Berikutan itu, Guan Eng mendakwa parti dalam kerajaan takut menghadapi pengundi kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.
Bagaimanapun Guan Eng berkata bagaimanapun berpandangan tidak boleh membiarkan ketakutan untuk menghadapi pengundi sehingga melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan pilihan raya dengan adil, bebas dan saksama.
Guan Eng juga membidas tindakan Khairy, dan berkata jika bimbang risiko jangkitan baharu COVID-19, sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya daripada diadakan.
“Khairy tidak berani melakukannya kerana dia tahu bahawa ini akan menyalahi undang-undang, oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan.
“Khairy mengambil alih peranan SPR dan mempersendakan demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.
“Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR,” katanya.
Dalam pada itu Guan Eng juga mempersoalkan mengapa ketika tiada perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dikenakan larangan dalam kempen pilihan raya.
“Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza. Mengapa membenarkan pilihan raya diadakan terlebih dahulu,” katanya.