24 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menzahirkan ucapan takziah kepada pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Ismail Sabri berkata pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
“Dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid, yang meninggal dunia sekitar jam 12.30 pagi tadi.
“Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanahair dan disegani dalam dunia perfileman negara.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanahair di atas kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataannya menerusi Facebooknya hari ini.
Jenazah Allahyarham yang meninggal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh Ipoh, Perak, kira-kira jam 2.20 petang tadi.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dibawa ke kawasan perkuburan jam 1.50 tengah hari.
Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan ialah rakan-rakan artis antaranya, M Nasir bersama isteri, Awie, Zul Ariffin, Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Avaa Vanja, Mat London, penerbit dan pengarah, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Yang turut hadir menziarah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh dan Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.