24 OKT: Ramai pemimpin dan penyokong akar umbi UMNO mahu parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mendakwa mereka ingin melihat masyarakat Melayu bersatu bagi memastikan kuasa politik orang Melayu kekal pada PRN, sekali gus gambaran harapan mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Mohamed Azmin, PN dan BERSATU tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman UMNO, tetapi menghormati pandangan pemimpin serta akar umbi terbabit.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU adalah pandangan beliau.
“Bagaimanapun, saya dapat banyak maklumat pemimpin dan akar umbi UMNO yang mahu diwujudkan kerjasama dengan BERSATU, tetapi itu adalah masalah dalaman UMNO dan kami tidak mahu campur,” katanya selepas menghadiri program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN Bahagian Masjid Tanah, di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di Melaka hari ini.
Yang turut hadir, Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pesuruhjaya PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman dan Ketua GERAKAN Bahagian Masjid Tanah, Lee Kong.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO sudah muktamad tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam PRN Melaka dan ia disambut dengan kenyataan Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, UMNO perlu membuat keputusan muktamad sama ada mahu bekerjasama atau sebaliknya dan biar rakyat membuat pilihan parti mana yang mementingkan perpaduan.
Beliau berkata, PN dan BERSATU tidak pernah menutup pintu kepada perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk UMNO jika parti berkenaan mahu berbincang sebelum penamaan calon pada 8 November ini.
“Kita tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak, tetapi masa semakin suntuk kerana sekarang sudah hendak sampai penamaan calon dan UMNO masih belum muktamad,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, PN akan mengumumkan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN terutama BERSATU dan PAS tidak lama lagi.
Ditanya sama ada pembahagian 28 kerusi itu sama rata antara BERSATU dan PAS, beliau berkata, perbincangan lanjut sedang dijalankan dan akan diputuskan tidak lama lagi.
“PAS ada kekuatan sendiri, mereka sudah lama ada di Melaka dan kita ada GERAKAN yang mewakili semua kauM, manakala BERSATU parti baharu tetapi kita ada rekod cemerlang mentadbir negara,” katanya.