25 OKT: Seramai 63 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diambil tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan dari 2016 hingga 18 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM Datuk Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, 13 daripadanya telah diambil tindakan buang kerja dan antara kesalahan dilakukan termasuk berkaitan kecuaian, tidak hadir bertugas dan terbabit dalam aktiviti yang tidak sesuai dengan etika SPRM.
“Mereka ini dikenakan hukuman yang sesuai berdasarkan kesalahan dilakukan manakala selebihnya dikenakan tindakan lain seperti amaran dan juga denda.
“63 individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan terdiri daripada dua kelompok pegawai iaitu kumpulan pengurusan dan kumpulan sokongan,” katanya kepada media pada program Wawancara Khas Bersama Pengerusi JKA SPRM di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Beliau berkata, setiap aduan salah laku yang diterima Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM akan dipantau JKA secara berkala setiap tiga bulan bagi menilai aduan dan tindakan yang diambil suruhanjaya terhadap aduan itu.
Ahmad berkata, JKA juga akan memberikan pandangan dan cadangan yang sesuai untuk tindakan setiap aduan itu selain berbincang dengan wakil daripada pengurusan tertinggi SPRM iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Junipah Wandi berkaitan prosedur dan tindakan.
“Dalam menjalankan tugas, JKA akan turut dibantu BCP yang melaksanakan tugas selaras dengan penubuhannya seperti siasatan berkaitan pelanggaran salah laku oleh warga SPRM, pengurusan tatatertib, pengukuhan integriti bagi meningkatkan kesedaran integriti (dan) pengurusan aduan dalam SPRM.
“Selain itu, JKA dibantu dalam pematuhan terhadap undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan warga SPRM mematuhi prosedur dan arahan berkuat kuasa antaranya meningkatkan integriti melalui pematuhan SOP tatacara kerja membuat saringan awal air kencing memastikan mereka tidak terbabit dengan dadah,” katanya.
Beliau berkata, Sekretariat kepada JKA pula berfungsi menguruskan urusan yang berkaitan dengan saluran aduan, pelaporan, tindakan dan cadangan penambahbaikan.
Menurutnya, semua aduan berkaitan pelanggaran tatatertib yang tidak bersifat jenayah boleh disalur melalui talian di 03-8870 0050 atau emel di atau p1@sprm.gov.my.
“Boleh juga datang sendiri bersama dokumen sokongan jika ada atau menulis surat ke alamat (iaitu) Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Aras 13, Blok A, No. 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, 62250, Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, setiap kes membabitkan pegawai SPRM terbabit rasuah, salah laku atau sebarang aktiviti jenayah pasti mengundang persepsi negatif terhadap organisasi itu keseluruhannya, walaupun hanya segelintir anggota saja mungkin terbabit.
“Sebagai Pengerusi JKA, saya memandang serius perkembangan negatif ini dan memberi jaminan bahawa isu seumpama ini tidak akan terlepas dan pasti (akan) ada tindakan sekiranya ia benar serta terbukti berlaku.
“Berdasarkan pemerhatian JKA, SPRM telah melakukan yang terbaik bagi memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti wujudnya Pelan Antirasuah SPRM (2021-2025) dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM, selain melaksanakan beberapa program pengukuhan integriti,” katanya.