25 OKT: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi keterangan dan penjelasan kira-kira dua jam kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan penyiapan enam kapal peronda generasi kedua Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM9 bilion.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata Ahmad Zahid yang menjadi Menteri Pertahanan bermula 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, memberi penjelasan hampir dua jam berhubung isu berkenaan.
Kah Woh juga mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah saksi keenam dipanggil PAC dalam isu perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, namun sehingga kini tiada LCS diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“PAC memandang serius isu ini kerana sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua unit LCS siap dibina setakat ini.
“Isu ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PAC memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz pada 18 November 2020, diikuti Pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ambrin Buang, (1 Disember 2020).
Turut dipanggil, Pasukan Projek LCS TLDM pada 16 Disember 2020, bekas Panglima Tentera Laut, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (29 Julai 2021) dan Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard (BNS) yang merupakan syarikat pembina kapal LCS, Low Kok Chiang.
Dalam pada itu, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata bagi melengkapkan siasatan, PAC bercadang melawat limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS.
Beliau berkata, kegagalan penyiapan kapal LCS adalah serius dan membabitkan kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan.
Katanya, ia juga memberi impak besar terhadap keselamatan dan pertahanan negara.
“Bagi melengkapkan siasatan, PAC bercadang melawat limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS di Lumut dalam masa yang akan ditetapkan,” katanya.