25 OKT : Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan diberikan secara one-off mulai Selasa ini kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ismail Sabri, bantuan tersebut adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela.
“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 870 ribu individu yang telah hilang pendapatan pada tahun 2021.
“Kesemua bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Ismail Sabri, semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai 26 Oktober 2021 melalui Portal BKP, iaitu https://bkp.hasil.gov.my.
“Untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.
“Semoga bantuan ini dan juga bantuan tunai lain yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar ini,” katanya lagi.
BKP diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO dalam tahun 2021.