25 OKT: Kerajaan memberi jaminan akan memaklumkan perkembangan siasatan berhubung isu Kertas Pandora kepada Parlimen dari semasa ke semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya akan menetapkan tarikh untuk memberikan jawapan siasatan itu di Parlimen.
Beliau memberi jaminan itu menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berhubung tindakan penguatkuasaan yang diambil kerajaan berhubung pengaliran wang haram ke luar negara seperti didedahkan beberapa laporan antarabangsa
Wan Junaidi dalam masa yang sama turut berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mendapatkan butiran lanjut mengenai isu terbabit.
“SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan koordinasi siasatan berhubung perkara ini berjalan lancar.
“Dalam hal ini, kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen PH-Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim [Port Dickson] minta Perdana Menteri menyatakan apakah kesediaan kerajaan berikutan pendedahan Pandora Papers yang melibatkan beberapa anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Rakyat serta bekas anggota pentadbiran negara.
Anwar menjelaskan siasatan telus perlu dalam memastikan kredibiliti dan integriti pentadbiran negara terpelihara dan apakah pemantauan terhadap transaksi wang keluar negara secara haram serta nilai wang haram yang telah dikeluarkan sejak 2008 hingga kini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata BNM telah meningkatkan pemantauan dan perisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen.
Beliau berkata tindakan berkenaan menyumbang kepada peningkatan aktiviti penguatkuasaan menyasarkan aktiviti kiriman wang tanpa lesen samada aktiviti bersindiket dan juga operator-operator runcit.
“Bagi tempoh 2017 hingga 2020, tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan dengan 64 kes telah didakwa di
mahkamah, melibatkan lebih RM11 juta jumlah denda dan perlucuthakan harta,” katanya.
Terdahulu, Wan Junaidi berkata secara dasarnya, penggunaan akaun luar pesisir bukanlah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana
individu atau syarikat.
Beliau berkata struktur kewangan di Malaysia dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758], Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759] dan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang [Akta 731].
“Aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan transaksi wang keluar negara adalah tertakluk di bawah Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) [Akta 613] dan akta-akta berkaitan yang merangkumi langkah pencegahan terhadap kegiatan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, pemindahan dana melalui saluran tidak rasmi dan pengisytiharan mata wang di pintu masuk/keluar negara.
“AMLA dikuatkuasakan oleh agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, SPRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak berkuasa berwibawa (competent authority) di bawah AMLA sentiasa bersedia memberi bantuan dan sokongan kepada agensi-agensi tersebut.
“Aktiviti kewangan luar pesisir di Malaysia dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) melalui
penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 [Akta 704] dan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2010 [Akta 705].
“Penyelarasan dan aktiviti penguatkuasaan bersama juga telah dilaksanakan terutamanya melalui National Anti-Financial Crime Centre (NFCC), penguatkuasaan dan kawalan sempadan termasuk pemantauan aliran tunai tidak sah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI