25 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka bagi mengelak peningkatan mendadak kes COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kerajaan berbuat demikian kerana tidak mahu peningkatan besar-besar kes COVID-19 berulang sekali lagi sama seperti selepas PRN Sabah, pada tahun lalu.
Beliau berkata berdasarkan pemantau KKM mendapat peningkat kes COVID-19 berkenaan berlaku kerana kegiatan rentas negeri di kalangan individu lain di Malaysia seperti pengundi, penyokong, petugas PRN, sebelum, semasa dan selepas PRN Sabah berlangsung serta aktiviti berkumpulan termasuk kempen pilihan raya.
“Jadi kita tidak mahu kejadian sedemikian berulang atau bak kata orang ‘Jangan Sampai Pisang Berbuah Dua Kali’ atau Nasi Menjadi Bubur.
“Justeru itu kita mengambil pendekatan supaya memperketatkan SOP PRN Melaka. Berdasarkan pengalaman PRN Sabah kerajaan berusaha untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang semula semasa PRN Melaka berlangsung,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengungkaikan tujuh Ordinan Darurat di Parlimen sebentar tadi.
Sebelum ini, KKM dilaporkan menguatkuasakan larangan mengadakan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial termasuklah penganjuran majlis pelancaran jentera parti sempena PRN Melaka adalah tidak dibenarkan, mulai hari ini
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata larangan yang akan berkuat kuasa mulai esok hingga 27 November berkenaan adalah langkah terbaru diperkenalkan KKM bagi mengurangkan risiko penularan dan peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara mendadak.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata langkah KKM memperketatkan SOP di PRN Melaka adalah sebahagian langkah pencegahan dan kesihatan awam bagi membendung peningkatan kes COVID-19 dalam masyarakat di negeri berkenaan.
Beliau berkata langkah berkenaan juga mengambil kira Melaka masih melaporkan kes baharu hari COVID-19 masih tinggi dengan 292 kes positif baharu dilaporkan di negeri berkenaan, semalam dengan lebih 2,600 kes masih aktif manakala terdapat 6,000 kes kontrak rapat dalam pengawasan dan pemerhatian KKM ketika ini.
Dr Noor Azmi berkata terdapat juga kebimbangan bahawa jangkitan COVID-19 akan menular dengan lebih cepat kerana kadar kes perodik di Melaka yang masih tinggi iaitu 30 peratus pada ketika ini.
“Mengambil kira aktiviti berkaitan pilihan raya menyebabkan pihak berkuasa sukar mengawal pematuhan SOP sekali gus meningkatkan risiko penularan jangkitan dan kluster baharu COVID-19 maka KKM terpaksa melarang sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial diadakan sempena PRN Melaka nanti,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI