25 OKT : Mangsa banjir di Pendang, Kedah meningkat kepada 139 orang daripada 35 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi daripada 126 mangsa semalam.
Kesemua mangsa banjit itu telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, berkata mangsa dari 10 kampung dipindahkan berikutan hujan lebat sejak Khamis lalu.
“Setakat ini Sungai Pendang masih menunjukkan paras 2.87 meter dan paras air boleh terus meningkat jika hujan lebat berterusan. Banjir ini susulan hujan lebat Khamis lalu yang melebihi dua jam menyebabkan air melimpahi sungai secara mendadak dan menyebabkan banjir berhampiran Sungai Pendang,” katanya.
Yuslina berkata, lima mukim iaitu Ayer Puteh, Padang Peliang, Guar Kepayang, Mukim Padang Pusing dan Mukim Bukit Raya masih ditenggelami air.