25 OKT: PAS berhasrat untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS belum memuktamadkan kerusi mana yang akan ditandingi pada PRN nanti.
Tuan Ibrahim berkata PAS juga membuat keputusan tidak akan bertanding di mana-mana kawasan yang dimenangi oleh UMNO, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Pas berhasrat untuk bertanding lima kerusi di Melaka. Lima kerusi ini saya sebut pada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak akan ambil kerusi UMNO.
Kita ada 28 kerusi di Melaka, UMNO ada 13 atau 14 kerusi. Jadi lebih kurang ada 14 lagi kerusi yang kita boleh duduk berbincang untuk kita elak bertembung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Muktamar PAS Selangor di Bangunan Pas Selangor di Seksyen 13 di sini malam tadi.
Berikutan itu Tuan Ibrahim berkata PAS akan mengadakan rundingan dengan UMNO dan BERSATU bagi mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti berkenaan pada PRN Melaka nanti.
Beliau berkata langkah berkenaan perlu bagi mewujudkan pemuafakatan antara ketiga-tiga parti, khususnya soal pembahagian kerusi bagi PRN itu agar dapat meminimumkan pertembungan sekiranya ia berlaku.
“Semua orang mengaku (jika pertembungan) tiga penjuru, Pas rugi, UMNO rugi, BERSATU pun rugi. Oleh kerana itu kita harus muafakat, Insya-Allah ada jalan keluar,” katanya.