25 OKT: Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan hari ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan membubarkan kerajaan peralihan, lapor Xinhua.
Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas pihak tentera menahan pemangku Perdana Menteri Abdalla Hamdok, pegawai kerajaan peralihan dan beberapa menteri, menurut Kementerian Penerangan dan Komunikasi Sudan.
Sejak rampasan kuasa gagal pada 21 September, ia telah mencetuskan ketegangan antara tentera dan pihak kerajaan peralihan.
Sudan ditadbir kerajaan peralihan selepas bekas Presiden Omar al-Bashir digulingkan pada April 2019. Kerajaan peralihan itu dibentuk sementara menunggu pilihan raya diadakan.
Justeru, Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia di Sudan yang memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi kedutaan menerusi beberapa saluran komunikasi disediakan.
Mereka boleh menghubungi Rumah Malaysia yang terletak di House 17, Blok B21, Street Khalifa Abdullah, Daerah Al Riyadh, Khartoum atau emel kepada mwkhartoum@kln.gov.my.
Kedutaan Besar Malaysia juga boleh dihubungi menerusi telefon +249 99 070 0350 atau melalui wadah media sosial Facebook @Malawakil.Khartoum atau Twitter @ MYEmbKhartoum.