25 OKT: Permodalan Nasional Bhd (PNB), melalui Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah memperkenalkan perkhidmatan Wakaf ASNB baharu yang membolehkan pemegang unit ASNB secara berterusan menderma amanah saham mereka untuk manfaat komuniti.
PNB berkata Wakaf ASNB menggunakan konsep wakaf muabbad iaitu derma berterusan yang mana dana wakaf akan dikekalkan sebagai pelaburan prinsipal untuk menjana potensi pulangan tahunan.
“Pulangan itu kemudiannya akan disalurkan kepada projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti serta untuk misi-misi kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria berkata, memperkenalkan Wakaf ASNB adalah langkah proaktif PNB bagi memperkukuhkan pengurusan wakaf di Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional.
“Wakaf ASNB juga melengkapkan perkhidmatan perancangan kewangan ASNB, meliputi pelbagai pelaburan, serta kemudahan perancangan harta pusaka melalui Hibah Amanah dan Deklarasi Amanah,” katanya.
Wakaf ASNB disediakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli, pentadbir aset wakaf melalui anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB).
Pelantikan itu membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan terus kepada projek pembangunan ummah dan masyarakat secara amnya bagi pihak penderma wakaf.