26 OKT: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat bagi membolehkan tindakan tegas kepada mana-mana terbabit dengan kegiatan penjualan hidupan liar secara ‘online’ tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Berikutan itu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah diperkenalkan dan mula dikuatkuasakan pada 28 Disember 2010 menggantikan Akta Hidupan Liar 1972 [Akta 76] yang telah dimansuhkan.
Menteri Tenaga dan Alam Sekitar, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pindaan RUU berkenaan merangkumi 63 peruntukan,
pemansuhan tujuh peruntukan dan pengenalan lima peruntukan baharu yang boleh dirangkumkan kepada tujuh skop utama.
Takiyudddin yang juga Ahli Parlimen PAS-Kota Bharu berkata pindaan antara lain membolehkan kerajaan mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka terbabit dengan kegiatan pemburuan hidupan liar secara haram.
Beliau berkata pindaan Akta 716 melibatkan cadangan untuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000.00 kepada RM1 juta.
“Hukuman penjara maksimum pula ditingkatkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai hukuman yang bersifat mencegah dan memberikan pengajaran yang sewajarnya kepada pelaku jenayah.
“Pada masa ini denda maksimum bagi kesalahan berat seperti kes melibatkan pemburuan haram hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Belang, Harimau Kumbang, Harimau Dahan, Kambing Gurun dan Seladang adalah sebanyak RM500,000,” katanya ketika membentangkan RUU Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pindaan kepada seksyen 49 Akta 716 bagi mewujudkan denda maksimum RM1 juta terhadap mana-mana orang yang memburu mana-mana hidupan liar, haiwan atau burung, atau mengambil, mengganggu sarang atau telur mana-mana hidupan liar.
Beliau berkata, ia juga merangkumi kesalahan menganggu haiwan atau burung, atau mengganggu, memotong, mengalih atau mengambil apa-apa tanih, pokok kayu atau tumbuh-tumbuhan, atau mengambil apa-apa jenis sampel yang lain di dalam Rizab Hidupan Liar atau Kawasan Perlindungan Hidupan Liar.
“Pindaan kepada subseksyen 69(1) Akta 716 bagi meningkatkan hukuman penjara daripada tidak melebihi 10 tahun kepada 15 tahun bagi mana-mana orang yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya yang tidak matang.
“Pindaan kepada subseksyen 69(2) Akta 716 bagi meningkatkan hukuman penjara daripada tidak melebihi 5 tahun kepada tidak melebihi 15 tahun bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan membabitkan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Belang, Harimau Kumbang, Seladang, Kambing Gurun dan Badak Sumatera.
“Pindaan kepada subseksyen 70(2) Akta 716 bagi meningkatkan hukuman penjara daripada tidak melebihi 5 tahun kepada tidak melebihi 15 tahun bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan membabitkan hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya.
“Pindaan kepada seksyen 71 Akta 716 bagi meningkatkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta dan pemenjaraan
tidak melebihi 15 tahun bagi kesalahan mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang
dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas,” katanya