26 OKT: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sudah melantik pasukan penyelidik dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui UKM Pakarunding untuk melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2021 bagi mengukur tahap perpaduan di Malaysia.
Menterinya, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata hasil kajian berkenaan akan dijadikan sebagai instrumen pengukuran rasmi tahap perpaduan dan keharmonian negara secara berkala dan berterusan.
Halimah berkata, Kajian IPNas 2021 ini adalah penting yang bertindak sebagai instrumen pengukuran rasmi tahap perpaduan dan keharmonian negara.
“Ia adalah bertepatan dan selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di bawah Teras Strategik 7: iaitu Modal Sosial bertujuan meningkatkan persefahaman dan mewujudkan keharmonian yang berkekalan antara masyarakat berbilang kumpulan etnik dan agama di Malaysia.
“Kajian berkenaan juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang menetapkan hala tuju perpaduan negara untuk memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya di sesi jawab lisan di Parlimen di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN-Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta kementerian berkenaan menyatakan adakah terdapat sebarang kajian yang membuat penilaian terhadap tahap ketegangan kaum di Malaysia dan apakah keputusan penilaian tersebut.
Mengulas lanjut, Halimah berkata kajian berkenaan juga akan digunakan sebagai pengukuran tahap kemakmuran Malaysia di peringkat nasional menggunakan kaedah empirikal dan sistematik bagi memahami dan menjelaskan kedinamikan masyarakat.
Beliau berkata kerangka struktur IPNas 2021 adalah berdasarkan kerangka Perpaduan Kefahaman Baharu yang mengandungi tiga komponen penting iaitu Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan.
Halimah berkata kajian IPNas 2021 ini juga telah mengambil kira amalan yang dilaksanakan di dalam dan luar negara. Kajian perbandingan dan penandaarasan telah dibuat dengan negara-negara seperti New Zealand, Kanada serta Scanlon-Monash Index (SMI) of Social Cohesion di Australia di mana negara-negara ini turut menggunapakai konsep asas yang sama iaitu kesepaduan sosial.
Antara objektif kajian IPNas 2021 ialah untuk mengukur tahap perpaduan dan keharmonian negara untuk menggambarkan keadaan hubungan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia bagi tahun 2021 di peringkat nasional dan negeri.
“Kajian berkenaan juga akan menghasilkan Laporan Indeks Perpaduan Nasional 2021 yang boleh diguna pakai sebagai ukuran tahap peraduan untuk tempoh dua tahun (2021 dan 2022).
“Ia juga akan mencadangkan perancangan program yang lebih mantap dan akan menjadi kayu pengukur terhadap keberkesanan pelaksanaan inisiatif dan program yang dilaksanakan.
“IPNas 2021 juga akan dapat memberikan gambaran trend hubungan etnik, keharmonian dan kesepaduan sosial di Malaysia untuk pemerhati dan pelabur asing yang berminat membuat pelaburan di Malaysia,” katanya.