26 OKT : Parti-Parti komponen Perikatan Nasional (PN) bersetuju menggunakan lambang PN untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal tersebut telah dipersetujui oleh BERSATU, PAS, STAR SABAH, SAPP dan GERAKAN dalam satu mesyuarat khas bagi membincangkan hal-hal berkaitan PRN Melaka.
“Selain itu, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PN akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi parti PN.
“Majlis tertinggi PN juga telah memutuskan semua parti-parti komponen parti PN untuk menggerakkan sepenuhnya jentera parti masing-masing dan menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat agar mencapai kejayaan di dalam PRN Melaka,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Muhyiddin lagi, PN sentiasa berpegang kepada aspirasi untuk memelihara perpaduan, memastikan pentadbiran berintergriti dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat.