26 OKT: Pengajaran dan pembacaan al-Quran di negara ini turut mengalami perubahan seiring norma baharu susulan penularan wabak COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, orang ramai kini lebih mudah membaca al-Quran di mana-mana sahaja.
“Seiring teknologi dan keperluan umat Islam moden, katanya, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian selain terdapat aplikasi menyediakan tafsir dan doa pilihan. Semuanya di hujung jari.
“Saya difahamkan sejak penularan wabak COVID-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.
“Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta memperkenalkan kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, taranum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni ini memudahkan capaian masyarakat mempelajari ilmu membaca al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan Tahun 2021 di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri turut menyatakan bahawa al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan.
Jelasnya, gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk hadis nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.
Sementara itu, beliau berharap, semua pihak dapat mengambil manfaat daripada ayat dibacakan dan ibrah disampaikan 26 qari dan qariah Johan-Johan Kebangsaan yang mempersembahkan bacaan mereka, sejak Jumaat lalu.
“Dalam meraikan semangat Keluarga Malaysia, qari dan qariah dari seluruh negara telah menyertai majlis ini dan telah memberikan komitmen yang terbaik dari awal proses pelaksanaan sehingga selesai majlis ini.
“Semangat dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan RTM sangat dipuji dan boleh dijadikan satu contoh ke arah Keluarga Sejahtera,” katanya.