26 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberi jaminan bahawa tiada amalan ‘double standard’ dalam pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antara majlis membabitkan pemimpin pembangkang dan kerajaan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dari 8 hingga 20 November ini.
Wan Junaidi menjelaskan bahawa pihak berkuasa tidak pernah mengamalkan budaya ‘double standard’ dan semua pihak mengikut SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Justeru, saya berharap semua pihak, saya bercakap bagi pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana SPR mahu menyuburkan amalan demokrasi dengan memberikan kempen sempena PRN Melaka pematuhan SOP ketat ditetapkan MKN dan KKM.
“Kalau undang-undang ini dikuatkuasa oleh satu pihak ia juga perlu dilaksanakan oleh pihak lain. Setakat ini saya tidak boleh jaminan tiada pelanggaran SOP. Ini kerana apa yang berlaku di PRN Sabah ialah kita buat SOP tetapi rakyat dan pemimpin parti politik melanggar SOP.
“Justeru itu, saya akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang dan meminta supaya semua Menteri mematuhi semua SOP ditetapkan MKN dan KKM yang dilaksanakan oleh SPR,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang meminta Wan Junaidi memberi jaminan bahawa tidak akan ada amalan layanan berat sebelah diberikan kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang semasa kempen PRN Melaka nanti.
Terdahulu, Wan Junaidi berkata SPR dijangka mengumumkan penambahbaikan SOP bagi PRN Melaka, sebelum hari penamaan calon, pada 8 November nanti.
Ketika ini, Wan Junaidi berkata SPR kini sedang membuat persiapan sewajarnya dari pelbagai aspek termasuk logikstik, peralatan, sistem pilihan raya, latihan kepada petugas dan SOP pencegahan wabak COVID-19 bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 Novermver.
Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan PRN Melaka akan berlangsung semasa pasca COVID019 akan berjalan dalam keadaan selamat, lancar dan sempurna.
“Ketika SPR dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan penambahbaikan SOP pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 nanti.
“Isu kesihatan, keselamatan dan PRN Melaka menjadi keutamaan SPR sekarang dengan mengambil kira situasi COVID-19 ketika ini dan disesuaikan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Berikutan itu, SPR sentiasa berbincangan dengan KKM dan MKN bagi memastikan PRN Melaka yang akan diadakan semasa peralihan fasa PPN dapat berjalan lancar.
“Malah, SPR komited akan mengumumkan SOP berkenaan sebelum hari penamaan calon PRN Melaka, pada 8 Oktober ini,” katanya ketika menjawab soalan asal di sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH-Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang akan diambil pada PRN bagi mengelakkan peningkatan kes positif COVID-19 yang sebelum ini berlaku pada PRN Sabah tahun lalu.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata berharap SOP yang akan diumumkan SPR berkenaan akan dapat memberikan keseimbangan antara usaha kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dan menyemarakkan amalan demokrasi di negara ini. – Oleh HAIKA KHAZI