27 OKT: PAS bersedia dengan sebarang kemungkinan dalam PRN Melaka, sama ada akan kekal kerjasama politik dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahiam Tuan Man berkata tindakan berkenaan perlu kerana sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan UMNO sudah membuat keputusan untuk bertanding bersendirian pada PRN Melaka nanti.
“Apapun keputusan MKT UMNO pada Khamis ini akan menentukan segalanya seperti jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, bentuk muafakat politik dan penyusunan jentera pilihanraya.
“PAS tegaskan bahawa perlunya ketiga-tiga parti yang mendokong kerajaan Persekutuan sekarang dikekalkan dalam menghadapi PRN Melaka.
“Sebarang berita perpecahan tentunya akan menjadi berita gembira bagi PH. Namun PAS bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan isu agihan kerusi dan kerjasama antara parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, malam esok.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini termasuk kerjasama antara parti itu dengan PAS menerusi Muafakat Nasional serta Bersatu.
Bagaimanapun, beliau berkata segala perbincangan bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan PRN itu.
“Kita menanti penuh debaran keputusan SPR Isnin ini. Apa jua keputusannya kita terima dengan hati terbuka,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.