KPM tidak cadang wujud mata pelajaran khusus berkaitan kewangan
27 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang wujudkan mata pelajaran khusus berkaitan pengurusan kewangan sebagai mata pelajaran mandatori.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon, berkata elemen pendidikan pengurusan dan perancangan kewangan adalah satu daripada enam elemen dalam Pendidikan Kewangan yang telah diintegrasikan dalam kurikulum bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah.
Beliau berkata elemen pengurusan dan perancangan kewangan dalam Pendidikan Kewangan menerapkan pengetahuan dan kemahiran merancang dan mengurus kewangan peribadi di samping menerapkan nilai kewangan secara rasional dan bertanggungjawab.
“Pengintegrasian elemen ini telah dilaksanakan dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam pada peringkat menengah rendah dan menengah atas.
“Elemen ini turut diintegrasikan dalam mata pelajaran elektif iaitu Ekonomi, Prinsip Perakaunan, Perniagaan, Sains Rumahtangga dan Pertanian pada peringkat menengah atas,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah ada perancangan untuk pihak Kementerian menjadikan subjek pengurusan kewangan sebagai subjek mandatori di peringkat sekolah menengah bagi mengelak lebih ramai anak muda terdedah dengan masalah kewangan pada masa depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata melalui pelaksanaan pengintegrasian elemen tersebut dalam mata pelajaran teras dan elektif, KPM yakin murid dapat mempelajari asas pengurusan kewangan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
“Pendekatan ini secara tidak langsung akan melahirkan murid yang celik kewangan dan mendidik mereka daripada terdedah kepada masalah kewangan yang serius pada masa akan datang,” katanya.