27 OKT: Kerajaan sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan pusat pelancongan di seluruh negara kepada pelancong asing selepas projek rintis gelembung perjalanan itu dibuka di Langkawi mulai 15 November depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, perkembangan pembukaan Langkawi kepada pelancong asing akan menjadi penanda aras sebelum pusat pelancongan di seluruh negara dibuka kepada pelancong asing.
“Kita perlu meneliti dan memerhati semua aspek bagaimana keadaan gelembung pelancongan di Langkawi kepada pelancong asing sebelum buka ke destinasi lain di seluruh negara namun kita sudah siap sedia dengan prosedurnya.
“Kita letakkan dalam tempoh tiga bulan selepas Langkawi dibuka kepada pelancong asing namun apabila sudah nampak ok, saya jangka tidak sampai tiga bulan…kita akan usahakan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH-Padang Serai, M.Karupaiya yang mahu tahu garis masa sektor pelancongan di seluruh Malaysia dibuka untuk pelancong antarabangsa.
Terdahulu, Nancy berkata Malaysia telah menutup sempadan antarabangsanya sejak Mac 2020 susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Beliau berkata walaupun aktiviti sektor pelancongan terbatas, namun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa meneroka segala peluang dan mempersiapkan penggiat industri untuk kembali aktif apabila ia dibenarkan beroperasi serta merancang untuk industri ini bangkit semula selaras dengan Pelan Pemulihan Negara.
“Antara inisiatif besar yang dilaksanakan oleh MOTAC adalah memperkenalkan Gelembung Pelancongan Domestik
Langkawi bermula 16 September 2021.
“Apa yang lebih istimewa adalah pembukaan semula Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan domestik melalui projek rintis ini dilancarkan semasa larangan rentas negeri masih berkuatkuasa di seluruh negara.
“Kami di MOTAC sebenarnya telah membangunkan perancangan untuk pembukaan lebih banyak gelembung perjalanan domestik secara berperingkat dan bersasar selepas Langkawi.
“Bagaimanapun, kita lebih gembira dengan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 10 Oktober 2021 berhubung kebenaran aktiviti rentas negeri hasil daripada kejayaan negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus
populasi dewasa.
“Ini tentunya membawa khabar yang lebih baik kepada industri pelancongan negara kerana sebagai industri yang sangat
bergantung kepada mobiliti atau pergerakan, kebenaran rentas negeri untuk tujuan pelancongan ini tidak lagi membataskan pergerakan dan destinasi pilihan yang terhad untuk rakyat Malaysia melancong di dalam negara,” katanya.
Justeru, susulan pengumuman kebenaran rentas negeri tersebut, maka pada masa ini, tiada lagi keperluan untuk mewujudkan gelembung-gelembung pelancongan domestik yang lain.
“Merujuk kepada Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik di Pulau Langkawi, sukacita dimaklumkan bahawa bagi
tempoh 16 September sehingga 15 Oktober 2021, Pulau Langkawi telah menerima kemasukan seramai lebih 100,000 pelawat dari seluruh negara.
“Kegiatan aktiviti pelancongan yang kembali aktif telah memberi impak positif bukan sahaja kepada entiti perniagaan pelancongan semata-mata, malah limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti ini serta sektor rantaian turut membawa perkembangan yang baik kepada masyarakat setempat,” katanya.