27 OKT: Penganjur perhimpunan sidang akhbar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Bangunan Merah, Banda Hilir, dikompaun RM4,000 hari ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kompaun itu dikeluarkan kepada seorang individu berusia 20 tahun yang bekerja sebagai ejan insurans selepas dia meneruskan program sidang akhbar yang dihadiri Presiden penaja parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Pasukan polis yang menjalankan tugas pematuhan SOP di kawasan Melaka Tengah tiba di lokasi pelancongan Bangunan Merah itu dan mendapati beberapa individu memakai baju tertera perkataan Muda.
“Anggota polis kemudiannya bertemu dengan individu itu yang mengaku sebagai penganjur perhimpunan sidang akhbar parti Muda.
“Bagaimanapun lelaki terbabit tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang akhbar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sidang akhbar itu menyentuh berkaitan PRN Melaka dan menyebabkan 30 hingga 40 individu berkumpul.
Polis sebelum itu, katanya, telah menasihati penganjur supaya menghentikan program itu kerana didakwa melanggar SOP PPN Fasa 4 yang melarang sebarang program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk aktiviti yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.
Ujar beliau, individu itu kemudiannya dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah dan dimaklumkan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) PPN 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu.