27 OKT: Proses rundingan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November depan, menampakkan petanda positif.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata rundingan bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru parti dalam PN masih giat dijalankan.
“Perbincangan dilakukan bersama pimpinan tertinggi PAS, UMNO dan BERSATU untuk menghadapi PRN setakat ini menunjukkan tanda positif.
“Keputusan termasuk pengagihan kerusi akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 8 November depan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek bayaran keuntungan kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan (LTAWNT) di Kuala Terengganu hari ini.
Mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata pengagihan kerusi pada PRN akan dilakukan secara adil untuk semua parti dalam PN.
“Perbincangan masih diadakan, tetapi kita yakin tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya
Sementara itu Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon yang mewakili parti itu untuk bertanding dalam PRN Melaka nanti.
Mohamad berkata senarai individu yang akan bertanding bagi mewakili parti itu dijangka diputuskan sebelum hari penamaan calon.
“Calon (PRN Melaka) belum dimuktamadkan, tetapi di peringkat bahagian dan negeri, mereka sudah mengumpul nama yang disenarai pendek.
“Bagaimanapun kita di peringkat pusat masih belum lagi menentukannya,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohamad berkata, calon yang akan diketengahkan kelak bakal menggabungkan mereka yang berpengalaman dan muka baharu.
Jelasnya, gabungan mereka yang berpengalaman dan muka baharu sebagai calon dalam pilihan raya adalah amat penting.
“Itu kebiasaan dalam mana-mana pilihan raya, akan ada muka baharu, akan ada muka lama dikekalkan kerana gabungan pengalaman dan yang baharu itu penting,” katanya.