Azam Baki dilantik ahli BoG, IACA
28 OKT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dilantik sebagai ahli Board of Governors (BoG), International Anti-Corruption Academy (IACA) bagi tahun 2021-2024.
Pelantikan itu diumumkan pada Mesyuarat Resumed 10th Session of the Assembly of the Parties yang diwakili Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan berlangsung di Vienna International Center, Vienna, Austria, semalam.
Mohd Sallehhuddin ketika berucap pada mesyuarat itu berkata, Malaysia komited dan menyokong IACA dalam program akademiknya.
“Malaysia adalah antara negara pertama yang menandatangani Perjanjian Penubuhan IACA sebagai organisasi antarabangsa dan meratifikasi Perjanjian Penubuhan IACA sebagai pertubuhan antarabangsa pada November 2011.
“Oleh itu, saya percaya dan yakin dengan pemilihan ini, Azam Baki akan dapat berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dalam bidang pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang antirasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sallehhuddin berkata, dengan pengalaman luas, beliau mampu membimbing dan berkongsi amalan terbaik bersama penguatvkuasa dan pengamal undang-undang dalam menghadapi cabaran masa depan.
BoG adalah antara entiti terpenting IACA yang berperanan memastikan keberkesanan dasar dan strategi yang relevan bagi pelaksanaan inisiatif dan pembangunan kapasiti dalam bidang governans dan antirasuah.