28 OKT : Barisan Nasional (BN) menjelaskan majlis pelancaran jentera BN di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini sepatutnya di adakan di Melaka, namun ditukar kerana arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti kempen dijalankan di Melaka.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tersebut dilakukan menghormati arahan Menteri Kesihatan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihanraya.
“Pemilihan lokasi di WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan perhimpunan di adakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan Dewan acara.
“Pada hemat BN, arahan KKM itu hanya berkaitan dengan perhimpunan di negeri Melaka sahaja,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Zambry dalam kenyataan itu lagi, kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam telah mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti.
“Namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur,”ujarnya.
Walau bagaimanapun, jelas Zambry, sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, maka Barisan Nasional akan membayar kompaun yang dikenakan.
Terdahulu, KKM telah mengeluarkan kompaun terhadap BN kerana menganjurkan majlis pelancaran jentera BN di WTC pada 27 Oktober lalu.
Antara yang hadir ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pengeluaran kompaun terhadap BN itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan banyak pihak mendesak KKM mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.