28 OKT: India berjaya melancarkan ujian peluru berpandu berkuasa nuklear jarak 5,000 kilometer dengan tahap ketepatan yang sangat tinggi hari ini.
Pelancaran peluru berpandu Agni-5 di permukaan laut itu dilakukan pada 7.50 malam (waktu India) di luar pantai timur di negeri Odisha.
Ia sebagai persediaan untuk memperkenalkan Agni-5 dalam Pasukan Pertahanan Strategik negara itu.
“Peluru berpandu ini menggunakan bahan api pepejal tiga peringkat, mampu menuju sasaran pada jarak sehingga 5,000 kilometer dengan tahap ketepatan sangat tinggi,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
Pembangunan peluru berpandu balistik itu adalah sebahagian daripada dasar kerajaan India untuk mengekalkan “kuasa penghalang minimum”, kata kementerian itu.
India telah membangunkan pelbagai jenis peluru berpandu berkuasa nuklear di bawah Program Pembangunan Peluru Berpandu Bersepadu yang bermula pada 1983 dan selesai pada 2012.
Agni-5 berketinggian 17 meter, dengan berat pelancaran 50 tan, mampu membawa kepala peledak melebihi satu tan metrik.
Pelancaran itu adalah ujian kelapan yang dilaporkan sejak 2012, dengan empat yang pertama adalah ujian percubaan.