28 OKT: Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), akan mengumumkan keputusan rasmi mengenai cadangan pembinaan tapak pelupusan kekal (PDF) sisa radioaktif kekal di kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), pada bulan depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sehingga kini tapak yang dikenal pasti bagi pembinaan kemudahan itu adalah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan yang sedang melalui proses penilaian sebelum diberi kelulusan pembinaan.
Beliau berkata, pemindahan sisa radioaktif itu boleh disegerakan dengan mempercepatkan pembinaan kemudahan PDF.
“Sebelum kelulusan pembinaan, LPTA mensyaratkan dua aspek penilaian utama dipatuhi iaitu Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Penilaian RIA dan EIA sudah dihantar ke LPTA dan JAS pada September lalu dan bulan depan keputusan akan dibuat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Bentong, Wong Tack sama ada LPTA masih berpendirian bahawa sisa radioaktif yang terkumpul di kilang Lynas perlu dipindahkan segera.
Dalam pada itu, Dr Adham berkata, penilaian awal RIA mendapati PDF di Gebeng itu diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko rendah dan tapaknya dinaikkan setinggi lima meter dari paras laut bagi mengelak kejadian banjir.