28 OKT: Kerajaan negeri Sabah diminta mewujudkan satu enakmen yang berfungsi seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang digunakan pakai di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata enakmen itu adalah bagi membolehkan industri bekalan air di Sabah beroperasi lebih efektif.
Beliau berkata tindakan berkenaan perlu kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan membabitkan kawal selia bekalan air di Sabah sebaliknya ia di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Kedua-dua akta berkaitan air yang diwujudkan bagi melaksanakan fungsi kawal selia industri bekalan air ini tidak terpakai di Sabah.
“Justeru dicadangkan supaya Sabah mempunyai enakmen yang sama bagi membolehkan satu badan kawal selia diwujudkan bagi mengawal selia industri bekalan air untuk memastikan fungsi kawal selia dan operasinya dapat diasingkan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen UPKO-Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang mahu tahu peranan kerajaan Persekutuan dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di Sabah.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, walaupun kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam hal membabitkan kawal selia bekalan air di Sabah namun pihaknya cuba membantu mengatasi masalah berkaitan di negeri itu melalui perbincangan dengan pemimpin di sana.