28 OKT: Seorang lelaki ditahan polis agama Islam di utara Nigeria kerana menjual dirinya sendiri sebagai usaha melepaskan diri daripada kancah kemiskinan.
Aliyu Idris, 26, ditangkap pada Selasa lalu di Kano selepas gambarnya di media sosial menunjukkan dia memegang plakad yang tertera ayat bahawa dirinya dilelong pada harga AS$49,000 (RM203,644).
Kano ialah sebuah negeri yang terletak di utara Nigeria yang melaksanakan undang-undang syariah.
Seorang jurucakap polis agama, Lawal Ibrahim Fagge berkata, lelaki itu ditangkap kerana menjual diri yang merupakan kesalahan di bawah undang-undang syariah.
Menurut Fagge, Idris meninggalkan kampungnya untuk pergi ke Kano bagi mencari pekerjaan tetapi tidak berjaya.
Lelaki itu kemudian memberitahu bahawa dia tidak dapat mencari pekerjaan termasuk kerja-kerja kasar menyebabkannya membuat keputusan untuk menjual diri, kata jurucakap tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak dikenakan sebarang pendakwaan tetapi menurut polis agama tersebut, Idris diberikan kaunseling berhubung perbuatannya.
Nigeria bergelut dengan kemerosotan ekonomi disebabkan mata wang tempatan yang lemah dan hasil minyak yang semakin berkurangan iaitu menyumbang sebanyak 90 peratus daripada pendapatan pertukaran asingnya.
Kebanyakan rakyatnya hidup melarat dengan berbelanja kurang daripada AS$2 (RM 8.30) sehari.