28 OKT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjalinkan kerjasama dengan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan bencana di Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata sebagai Keluarga Malaysia, penglibatan masyarakat sivil untuk bersama-sama pihak kerajaan dalam pengurusan bencana amatlah penting.
Beliau berkata kerjasama yang berterusan antara NADMA dengan NGO berkenaan bukan hanya dalam pengurusan bencana, bukan sahaja dalam fasa tindak balas bencana malah dalam fasa persediaan dan pasca bencana.
“Justeru, lebih daripada 100 buah NGO telah berdaftar sebagai Rakan NADMA yang menjadi platform kerjasama Kerajaan-NGO.
“NGO-NGO berkaitan bencana boleh mendaftar sebagai Rakan NADMA secara manual dengan mengisi borang dan pada masa ini, NADMA dalam proses menambahbaik kaedah pendaftaran secara dalam talian.
“Antara kerjasama yang dilaksanakan seperti perkongsian maklumat bencana, penyelarasan bantuan semasa bencana, membantu pembangunan kapasiti dan penglibatan NGO dalam usaha-usaha kerajaan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen BERSATU-Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah pengukuhan kerjasama antara kerajaan dengan NGO, GLC dan pihak swasta dalam pengurusan bencana.
Mengulas lanjut, NADMA juga telah membangunkan sistem eSumbangan Badan Sukarela yang akan menjadi platform penyelarasan bantuan antara Penderma (NGO, GLC & Swasta) dan Penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri/Daerah).
Beliau berkata sistem berkenaan akan dilaksanakan secara rintis dalam fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang dijangka akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 November 2021 nanti.
Beliau berkata NADMA dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan meneruskan inisiatif penyampaian amaran banjir melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan berisiko banjir dengan kerjasama JPS melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).
“Kos SMS ditanggung oleh syarikat-syarikat telekomunikasi kerana ia dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“NADMA juga telah mendapat kerjasama MAS Kargo Sdn. Bhd. untuk menyokong penyaluran bekalan barangan bantuan kemanusiaan kepada kawasan-kawasan di negeri Sabah dan Sarawak melalui jalan udara.
“Kos yang minimum ditanggung oleh Kerajaan untuk pengangkutan udara. Ia lebih rendah dari kadar komersial selain proses yang dipermudahkan meskipun di saat-saat akhir,” katan.