28 OKT: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 mendedahkan Negara mengalami kerugian RM620.07 juta akibat ketidakpatuhan kementerian dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan terhadap isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran pada tahun lalu.
Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata daripada jumlah itu RM510 juta adalah berpunca daripada pembayaran tidak teratur, RM499.18 juta membabitkan bayaran tuntutan penyelenggaraan tanpa pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata daripada RM104.7 juta kerugian wang awam RM81.69 juta adalah penalti belum dituntut dan tidak dikenakan oleh Jabatan Imigresen, manakala RM4.79 juta membabitkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.
“Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil Ketua Audit Negara mengemukakan 29 syor iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, LKAN mendapati bayaran tuntutan kos penyenggaraan Projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) berjumlah RM499.18 juta telah dibayar tanpa pengesahan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
GIRN ialah projek strategik kerajaan peringkat nasional yang dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta dengan syarikat konsesi yang dibangunkan untuk menyediakan keupayaan rangkaian komunikasi yang lebih cekap antara anggota penguatkuasa di lokasi operasi/kejadian dengan bilik kawalan pusat.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipertanggungjawabkan memantau kemajuan projek itu dan membuat pembayaran bagi kerja dan perkhidmatan yang dilaksanakan.
Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, bayaran penuh sebanyak RM499.18 juta itu dibuat kepada syarikat konsesi walaupun dua daripada lima parameter pengukuran yang ditetapkan iaitu Handover Between Cells (data) bagi KPI Retainability dan Data Throughput dilaporkan sebagai not available atau tidak dicapai oleh syarikat konsesi.
“Pembayaran penuh yang dibuat ini menyebabkan potongan rebat berjumlah RM2.5 juta tidak dibuat, tuntutan insurans oleh syarikat konsesi berjumlah RM23.51 juta tidak wajar dituntut telah dibayar kepada syarikat konsesi.
“Selain itu, pembayaran sebanyak RM150.19 juta terhadap perbelanjaan lain antaranya bayaran kos diesel generator dan bayaran sewa helikopter bagi perkhidmatan penyenggaraan pula tidak dapat disahkan,” katanya.
Laporan itu memaklumkan secara keseluruhan, berdasarkan skop dan sampel audit, terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak berkaitan Bayaran Tuntutan Kos Penyenggaraan GIRN disebabkan tiada semakan teliti terhadap klausa perjanjian dan dokumen sokongan yang dikemukakan sebelum pembayaran dibuat menyebabkan pembayaran yang tidak teratur berjumlah RM499.18 juta.
Sehubungan itu, beberapa syor dikemukakan audit kepada MKN antara lain memastikan pengesahan tuntutan konsesi dibuat berdasarkan klausa perjanjian sebelum diperakukan untuk bayaran.
MKN katanya juga perlu mengambil tindakan dengan menguatkuasakan klausa perjanjian sedia ada dan menambah baik terma perjanjian untuk menjamin nilai terbaik kerja dan perkhidmatan yang diperoleh bagi mengelakkan ketirisan.
“Di samping itu, MKN perlu memastikan pentadbiran dan pemantauan kontrak dilaksanakan dengan cekap dan teliti agar kepentingan kerajaan terjamin dan perlu menyemak semula bayaran kepada syarikat konsesi yang tidak mematuhi klausa perjanjian untuk tujuan pemotongan bayaran tuntutan,” menurut LKAN.