28 OKT: Pengguna perkhidmatan penyiaran Astro mempunyai pilihan untuk membayar bil tanpa dikenakan caj perkhidmatan seperti caj 50 sen di Pos Malaysia Bhd
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, caj 50 sen di kaunter Pos Malaysia merupakan persetujuan secara komersial (commercial arrangement) antara dua syarikat berkenaan.
Beliau berkata, pelanggan perkhidmatan penyiaran Astro boleh membuat pembayaran menerusi kaedah auto debit yang memerlukan pelanggan mendaftar di portal layan diri atau di pusat perkhidmatan pelanggan Astro.
Menurut Annuar, selain itu alternatif pembayaran bil termasuk Astro Quick Pay, saluran Astro 200, aplikasi My Astro serta platform JomPAY.
“Sejak Januari tahun ini, caj perkhidmatan 50 sen untuk Astro telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran bil, cuma Pos Malaysia Berhad sahaja yang baharu mengenakan caj sama bagi bayaran bil Astro di kaunter bermula 1 Sept 2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu mengapa caj 50 sen dikenakan sebagai caj kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di pejabat pos.2828