29 OKT: Kerajaan wujudkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerusi Belanjawan 2022 dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000 bagi mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima yang akan membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.
“Bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800.
“Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.
Beliau berkata bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas.
“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.
“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI