29 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022 iaitu berjumlah RM52.6 billion, manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula menerima peruntukan sebanyak RM14.5 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Bajet 2022 kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara.
“Justeru, KPM akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tahun depan.
“Bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 iaitu meningkat berbanding RM100 sebelum ini.
“Berikutan itu, sejumlah RM450 juta diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan 3 juta murid yang layak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan memperuntukan RM1 bilion untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan ini juga termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta pada tahun ini.
Beliau berkata peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10 ribu sekolah di bawah KPM akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam.
“Bagi tahun 2022, sebanyak RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
“Kerajaan juga akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta dengan sebilangan besarnya adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi memperkasa agenda pendidikan khas termasuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.
“Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, Kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan RM400 juta,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan memberikan bantuan one off RM100 kepada 400,000 guru di bawah KPM sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik. – Oleh HAIKA KHAZI