29 OKT: Kadar pengangguran dalam negara dijangka berupaya diturunkan kepada kurang daripada empat peratus tahun depan berbanding 4.8 peratus kini melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata jumlah itu diyakini mampu dicapai dengan usaha kerajaan untuk melahirkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion melalui JaminKerja yang diumumkan menerusi Bajet 2020.
“Bajet yang diberi ini memberi keyakinan kepada rakyat dengan fokus ke arah pemulihan jaminan kerja termasuk usaha mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.
“Saya percaya usaha ini akan mengurangkan kadar pengangguran di bawah empat peratus,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Saravanan berkata, pihaknya menyasarkan peluang kerja yang bakal diwujudkan bersifat kompeten yang memenuhi cabaran masa depan serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Sebelum ini, Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pengangguran di Malaysia meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu.