29 OKT: Kerajaan komited untuk menyediakan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak menerusi inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) bermula Januari 2022.
Menteri Kewangan, Tengku datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata inisiatif berkenaan merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Tengku Zafrul, berkata Bajet 2022 juga menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.
“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.
“Program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital seperti contoh program Global Online Workforce (GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memperuntukan RM2 bilion bagi meneruskan program pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja yang akan memberi manfaat kepada 300,000 rakyat Malaysia, pada tahun depan.
Tengku Zafrul berkata di bawah inisiatif itu, majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja akan menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama.
Katanya, bagi tempoh enam bulan berikutnya, majikan menerima insentif 30 peratus tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.
“Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan banduan pula, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ringgit ke atas.
“Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah,” katanya.