29 OKT: Kerajaan menyediakan peruntukan bernilai lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan berkenaan adalah untuk meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.
Tengku Zafrul berkata tindakan berkenaan perlu memastikan kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan,
“Kerajaan amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat akibat PKP yang berpanjangan, terutamanya dari segi pengurusan aliran tunai.
“Untuk menambah wang dalam tangan kepada rakyat, KWSP akan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada 9 peratus sehingga Jun 2022 melibatkan anggaran nilai RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi mengurangkan kos pemilikan kenderaan, kerajaan juga akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50 peratus ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.
Beliau berkata kerajaan juga akan memperuntukan RM1.5 bilion bagi meneruskan projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
“Peruntukan ini antaranya bagi meneruskan program-program rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara
perumahan rakyat.
“Kerajaan tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun ke enam dan ke atas,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI