30 OKT: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal memegang jawatan itu bagi sesi 2021-2023 apabila tidak dicabar mana-mana pemimpin bagi pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang akan diadakan pada bulan depan.
Pada masa sama, jawatan Timbalan Presiden turut kekal disandang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga tidak dipertandingkan.
Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor, manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.
Anak jati Kampung Rusila, Marang, Terengganu itu terlibat secara rasmi dalam bidang politik pada tahun 1978 apabila dipilih sebagai calon PAS di DUN Marang.
Pada peringkat parti pula, kredibiliti beliau sebagai pemimpin terserlah selepas dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1976.
Setahun selepas itu, Abdul Hadi dipilih sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa PAS Pusat sebelum dilantik menjadi pemangku Naib Presiden PAS Pusat pada tahun 1978.
Pada tahun 1980, beliau disahkan mengisi jawatan tersebut dan berjaya mempertahankan jawatannya pada tahun 1983.
Selepas Allahyarham Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada tahun 2002, Abdul Hadi memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003 sebelum dilantik sepenuhnya pada tahun 2005.
Pada Muktamar PAS 2015, beliau dicabar buat kali pertama oleh bakal Penasihat Umum Amanah/PAN, Ustaz Ahmad Awang dan berjaya mengekalkan kedudukannya dengan majoriti undi 695 undi.
Sementara itu, memetik laporan Harakah Daily, bagi sesi pemilihan kali ini, PAS menerima jumlah borang pencalonan sebanyak 159 daripada 197 kawasan dengan satu borang ditolak.
Bagi calon Naib Presiden pula, lima nama dicalonkan iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan seorang lagi penyandang jawatan sekarang, Mohd Amar Nik Abdullah.
Dilaporkan, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki bakal mencabar jawatan naib presiden itu.
Namun, Muhammad Sanusi semalam memaklumkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden pada muktamar kali ini.