30 OKT: UMNO masih berunding dengan parti-parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan PAS bagi menggelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Perkara tersebut disahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, rundingan berhubung perkara tersebut sedang dibuat.
“Ada dua benda saja saya nak katakan. Pertamanya kalau boleh tak ada pertembungan dan itu sedang diusahakan. Keduanya, adakan rundingan dan perkara itu sedang dibuat.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16, di Alor Setar, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah beberapa kali menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRN Melaka.
Malah kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober lalu turut memaklumkan bahawa UMNO akan meneruskan persefahaman dengan PAS tanpa langsung menyebut mengenai kedudukan BERSATU.
Ditanya sama ada beliau optimis perkara itu boleh berlaku, Mahdzir sekali lagi menegaskan yang beliau enggan mengulas lanjut dan perkara itu sedang diusahakan.
“Rundingan itu masih berjalan. Tak bolehlah beritahu banyak sangat, cukuplah apa yang saya katakan tadi,” katanya.