30 OKT: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) yakin Bajet 2022 mampu menjadikan bidang pendidikan lebih gah dengan mewujudkan ekosistem yang kondusif, efektif dan selamat.
Presidennya Mohd Azizee Hasan, berkata peruntukan sebanyak RM52.6 bilion itu menyaksikan sektor pendidikan menerima tambahan peruntukan RM2.2 bilion berbanding RM50.4 bilion bagi 2021.
“Kami ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan kerana membentangkan bajet lebih besar untuk bidang pendidikan. Ini bukan sahaja dapat melegakan ibu bapa dan guru, malah diyakini mampu membantu kita membina ekosistem pendidikan yang kondusif, efektif dan selamat.
“Ia selaras dengan hasrat untuk memacu pendidikan negara dengan lebih hebat pada masa depan,” katanya menyifatkan Bajet 2022 bersifat prihatin dan mengutamakan pendidikan kelompok terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya mereka dari kalangan keluarga B40.
Beliau berkata, langkah menaikkan bantuan awal persekolahan kepada RM150 daripada RM100, rancangan makanan tambahan serta pemberian tablet melalui inisiatif peranti siswa siswi untuk keluarga B40 adalah wajar dan bersasar.
“Bajet ini juga diharap dapat merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar serta sekolah di pendalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaran dan naik taraf sekolah daif.
“Kami merakamkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada kerajaan kerana Sekolah Agama Rakyat (SAR), institusi pondok dan tahfiz turut tidak terkecuali dalam bajet disediakan. Mereka mendapat peruntukan besar RM140,000, bagi tujuan naik taraf bangunan dan penyelelenggaraan,” katanya.
Mohd Azizee berkata, pihaknya yakin peruntukan berkenaan akan membawa kecemerlangan institusi pendidikan agama dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana.
Selain itu, katanya, inisiatif sekali bayar sebanyak RM100 untuk pembelian alat bantu mengajar kepada warga guru juga akan dapat membantu meningkatkan kecekapan pengajaran dan kemahiran digital pendidik.
“Selain itu, melanjutkan pelepasan cukai RM2,500 untuk pembelian komputer, telefon bimbit dan tablet sehingga Disember 2022 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tugas guru dalam usaha memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Katanya, pihaknya juga menyambut baik langkah kerajaan untuk pemerkasaan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertepatan dalam usaha melahirkan tenaga mahir berkualiti, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.
“Secara umum, belanjawan ini dapat memberi manfaat untuk membantu kelompok yang terjejas serta meningkatkan kualiti pengajaran guru selain merapatkan jurang pendidikan dan digital antara sekolah bandar dan luar bandar. Kami yakin belanjawan ini juga dapat memulihkan kualiti pendidikan negara yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.