30 OKT: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi memastikan tiada pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
“Keputusan UMNO adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga parti di Semenanjung.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sukan Negara 2021 ibu negara, hari ini.
Perdana Menteri demikian ketika ditanya mengenai bentuk kerjasama di antara UMNO dan PAS dalam PRN Melaka, memandangkan PAS akan turut bekerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).
Pada 28 Oktober lalu, Mesyuarat Khas MKT UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka, selaras ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).
Ismail Sabri menegaskan, hanya parti pembangkang yang akan meraih keuntungan sekiranya berlaku pertembungan antara tiga parti kerajaan itu dalam PRN Melaka.
“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru, pihak lain yang dapat keuntungan dan faedah. Mereka memang tengah tunggu untuk lihat parti kerajaan bertembung.
“Seperti kata orang dulu-dulu, ‘antan sama antan berlaga, beras tertumpah keluar’ dan ayam di tepi lesung yang kenyang. Ini kita kena elakkan, (sebab itu) kita sedang mengadakan rundingan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.