30 OKT: Pembangunan industri tenusu negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan sebanyak 100 peratus sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.
Perancangan tersebut adalah selari dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) ke arah jaminan sekuriti makanan negara termasuk subsektor industri ternakan.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 secara spesifik telah diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi mencapai matlamat berkenaan.
“Pelan strategik ini telah menggariskan lapan strategi dan 15 aktiviti. Antara usaha yang sedang dilakukan oleh DVS melalui pelan ini adalah untuk meningkatkan populasi ternakan melalui pembiakbakaan dan pemilihan baka yang mempunyai prestasi pengeluaran susu yang tinggi, pembangunan usahawan tenusu serta penyelidikan dan
pembangunan (R&D) dalam pembiakbakaan baka tempatan dan pemakanan haiwan,” jelas beliau.
Dr. Ronald berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke ladang dan kilang pemprosesan susu (Syarikat Farm Fresh Bhd), di Rompin hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veteriner, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Arifin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam, Ir Razali Kassim.
MAFI melalui DVS juga melaksanakan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara untuk memperkasakan lagi industri tenusu dengan pembangunan secara berfasa Lembah Tenusu Utara, Lembah Tenusu Selatan, Lembah Tenusu Borneo dan Lembah Tenusu Pantai Timur.
Program ini akan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi susu segar kepada 100 peratus dengan peningkatan pengeluaran susu segar sebanyak 20 juta liter.
Dalam hal ini, Kerajaan turut menyediakan peruntukan dalam RMKe-12 yang secara langsung melibatkan pembangunan industri tenusu di Malaysia melalui Program Pembangunan Industri Tenusu Negara dengan peruntukan sebanyak RM42 juta, Program naiktaraf Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu dengan peruntukan sebanyak RM16.4 juta dan Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (Tenusu) dengan peruntukan sebanyak RM48.88 juta.
Untuk rekod, penggunaan susu segar di Malaysia bagi tahun 2020 mencatatkan sejumlah 69.4 juta liter dan daripada jumlah tersebut, 43.3 juta liter dihasilkan dalam negara sementara baki 26.1 juta liter susu segar diimport dari Australia (83.4%), New Zealand (8.1%) dan lain-lain negara (8.5%).
Berdasarkan perangkaan DVS bagi tahun 2020, SSL bagi susu segar dalam negara adalah sebanyak 62.4 %.
Nilai susu di ladang pada tahun 2019 pula menunjukkan peningkatan kepada RM108.23 juta berbanding RM101.47 juta tahun sebelumnya.
Manakala nilai import susu dan produk berasaskan tenusu negara pada tahun 2019 adalah sebanyak RM4.09 bilion.
Sementara itu syarikat Farm Fresh Bhd merupakan penyumbang terbesar pengeluaran susu segar tempatan dengan menghasilkan 9.6 juta liter susu pada tahun 2020 iaitu menyumbang 22% kepada keseluruhan pengeluaran susu segar negara.
Pemain industri tersebut berjaya menginovasi sistem pemasaran yang inklusif bersesuaian dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dengan mewujudkan 45 stockist dan 832 ‘home dealers’ untuk tujuan pemasaran susu keluaran syarikat.
“Ini merupakan satu business model yang baharu bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan menceburkan diri dalam perniagaan susu dan seterusnya menjana pendapatan yang lumayan.
“‘Stockist’ mampu menjana pendapatan antara RM10,000 hingga RM25,000 sebulan, manakala ‘Home Dealers’ boleh mencapai pendapatan antara RM1,000 hingga RM3,500 sebulan,” katanya.