30 OKT: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan peruntukan Bajet 2022 yang lebih besar diperoleh sektor pendidikan amat tepat pada masanya.
Presidennya, Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, semasa pascapandemik dan ambang endemik, peruntukan sebanyak RM52.6 bilion adalah munasabah dan amat diperlukan sektor pendidikan.
“Tahniah dan syabas kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan yang terbesar kepada sektor pendidikan selain kesihatan.
“Semasa pascapandemik dan ambang era endemik, peruntukan bajet 2022 itu menasabah dan sewajarnya. Bajet seperti ini adalah ‘timely’ dan amat diperlukan, walaupun ada permintaan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bajet 2022 menyaksikan sektor pendidikan diperuntukkan tambahan RM2.2 bilion berbanding RM50.4 bilion bagi 2021.
Mohamad Ali menambah, beliau turut mengalu-alukan beberapa perkara daripada bajet tersebut seperti Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ditambah daripada RM100 ke RM150 yang akan dinikmati seramai tiga juta pelajar.
Beliau mengharapkan BAP itu tidak diberikan sewenang-wenangnya, tapi tersasar kepada anak-anak khususnya keluarga B40 & M40.
“Janganlah membazir peruntukan BAP ini kepada keluarga mewah, yang mungkin tidak memerlukannya,” tegasnya.
Selain itu, katanya, bagi keperluan penyelenggaraan dan membaiki kerosakan peralatan sekolah amat mendesak dan peruntukan sebanyak RM1 bilion tidak mencukupi sekali gus pihak berkenaan perlu mengutamakan kawasan-kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, pihaknya turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi sekolah kebangsaan Cina dan Tamil yang pastinya akan memberi manfaat kepada pihak berkenaan.
“Bagaimanapun, saya mahu kerajaan mengutamakan sekolah kebangsaan kerana ia seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Saya percaya sekolah kebangsaan adalah batu loncatan bagi memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia kerana mempunyai asas yang kukuh dan tepat dan sepatutnya mendapat peruntukan yang besar,” jelasnya.
PIBGN juga katanya, berbesar hari menerima insentif Khas Alat Bantuan Mengajar untuk para guru iaitu RM100 for Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Kami berharap para guru mengunakannya sebaik mungkin dengan menaik taraf alat bantu mengajar. Begitupun, kami juga mahu kerajaan bantuan serupa diberikan kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 dan M40 untuk meningkatkan akses mereka terhadap keperluan PdPR,” katanya.