82 negara berisiko gagal capai sasaran vaksin global-WHO
31 OKT : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, terdapat 82 negara berisiko gagal mencapai sasaran vaksinasi global menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanaom Ghebreyesus menggesa negara yang mencapai 40 peratus populasi divaksinasi supaya menyusun semula jadual pemberian suntikan dan berkongsi vaksin dengan negara lain memerlukan.
“Tujuh bilion vaksin COVID-19 sudah diberikan di seluruh dunia, namun banyak negara terutama di Afrika yang belum menerima vaksin sewajarnya untuk program vaksinasi rakyat.
“Negara berpendapatan rendah, kebanyakannya di Afrika menerima hanya 0.4 peratus daripada vaskin berkenaan, lebih 80 peratus pergi ke negara G20,” katanya dalam mesyuarat di sidang kemuncak G20 di Rom.
Dr Ghebreyesus berkata, kesaksamaan pemberian vaksin bukan sekadar satu kebajikan namun adalah kepentingan bersama bagi setiap negara.
“Kami mengalu-alukan sokongan anda kerana sasaran WHO 40 peratus populasi di semua negara divaksin menjelang akhir tahun ini dan 70 peratus pada pertengahan tahun 2022,” katanya.
Beliau menggesa negara yang sudah mencapai sasaran 40 peratus populasi divaksinasi supaya menukar jadual pemberian vaksin dengan COVAX dan Amanah Perolehan Vaksin Afrika (AVAT).
Katanya, ketika G20 bertemu kurang setahun lalu, seramai 1.5 juta orang kehilangan nyawa akibat COVID-19 dan setahun kemudian, jumlahnya meningkat kepada lima juta.
“Kami meminta anda menyokong pengeluaran vaksin tempatan di Afrika,” katanya.
Beliau turut meminta negara yang sudah berjanji untuk menyumbang vaksin supaya menunaikan segera janji itu.